EMPAT kediaman di Perumahan Awam DBKL musnah dalam kebakaran, semalam.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: “Semua musnah, tiada satu pun yang tinggal. Barang kemas, dokumen peribadi dan perabot semua jadi abu,” kata P Theysigaa, 27, apabila rumahnya di Perumahan Awam DBKL, Lorong J44, Jalan 16D, Jinjang Utara, di sini, musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, rumahnya dan tiga lagi rumah kosong musnah 100 peratus.

‎Theysigaa berkata, ketika kejadian, dia baru saja keluar membeli makanan bersama dua anaknya berusia enam dan lapan tahun di kedai berdekatan.

‎“Tiba-tiba ibu mentua menghubungi saya memaklumkan rumah dijilat api. Saya terkejut dan bergegas pulang.

Sebaik tiba, rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu musnah. Semua perkakas terbakar termasuk peti ais, televisyen, rantai emas dan beberapa dokumen penting. Kami kini tiada tempat untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang Mohamad Adha Md Nazir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.20 petang.

‎“Seramai 28 anggota dan pegawai dari BBP Jinjang, Hang Tuah, Seri Hartamas dan Sentul dengan empat jentera bergegas ke lokasi dan tiba jam 3.31 petang.

‎“Sebaik tiba kami dapati empat rumah terbakar. Tiga daripadanya tidak berpenghuni namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya menambah punca kejadian dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 3:40 AM