WANITA warga asing dipercayai GRO yang ditemui bersembunyi dalam laluan rahsia. FOTO Farah Suhaidah Othman
WANITA warga asing dipercayai GRO yang ditemui bersembunyi dalam laluan rahsia. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


TAKTIK 19 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) yang bersembunyi di laluan rahsia untuk meloloskan diri, gagal selepas ditahan dalam serbuan Ops Noda di pusat hiburan di Persiaran Greentown, Ipoh, hari ini.

Serbuan dilakukan lapan pegawai dan 34 anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Dalam operasi dua jam bermula 1.30 pagi tadi, turut ditahan, dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dipercayai penjaga premis.

Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintendan Mohd Shajidan Abd Shukor, berkata dalam serbuan berkenaan 10 wanita warga Vietnam, masing-masing empat warga Thailand dan Indonesia,serta seorang China, ditemui bersembunyi dalam laluan rahsia berkenaan bagi mengelak diri daripada dicekup polis.

“Ketika serbuan dilakukan, semua GRO berkenaan cuba untuk meloloskan diri melalui lorong tikus terbabit namun tindakan pantas polis menutup lorong atau pintu rahsia menerusi risikan sebulan lalu menggagalkan cubaan itu.

“€œSiasatan awal mendapati ada antara GRO berkenaan mempunyai dokumen perjalanan namun tidak mempunyai permit kerja yang sah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

GRO yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Mohd Shajidan berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan sembilan lelaki dan sembilan wanita tempatan berusia dalam salah satu bilik yang dipercayai menjalankan kegiatan judi haram menggunakan daun terup.

Katanya, polis merampas wang tunai berjumlah RM738 dipercayai hasil daripada kegiatan terbabit.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah, iaitu ketamin, ekstasi dan ganja,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di premis hiburan di Jalan Datoh, Ipoh, polis menahan lima wanita warga Vietnam dipercayai GRO dan lima lelaki tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai penjaga premis.

Katanya, semua yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke IPK negeri bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:01 AM