LELAKI maut selepas terkena ditembak pemburu dengan ‘bekakok' di ladang kelapa sawit di Jalan Samling, Lawas. FOTO ihsan polis.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI yang disangka seekor babi hutan maut selepas terkena tembakan senapang patah buatan sendiri jenis 'bekakok' dilepaskan pemburu di ladang kelapa sawit di Jalan Samling, Lawas, malam tadi.

Kejadian 8 malam itu menyebabkan lelaki warga Indonesia berusia 30-an dari Long Bawan, Indonesia itu maut di ladang kelapa sawit berkenaan akibat tiga kesan tembakan di kiri badannya.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang juga petani berusia 52 tahun itu keluar berburu berseorangan di ladang kelapa sawit berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, suspek terdengar bunyi pergerakan di depannya yang disangkakan babi hutan sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan ‘bekakok'.

"Sebaik tembakan dilepaskan, suspek terdengar jeritan seorang lelaki tidak jauh dari tempat dia berdiri. Suspek kemudiannya bergegas mencari suara berkenaan sebelum menemui lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah bersama selaras senapang.

"Suspek yang cemas cuba memberikan bantuan, namun beberapa minit kemudian mangsa tidak memberi sebarang respon selain tidak lagi bernafas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, terkejut dengan kejadian itu, suspek bergegas pulang ke rumah di Kampung Sahabat Baru untuk memaklumkan kejadian kepada adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Lawas.

Katanya, berdasarkan maklumat suspek, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Lawas bergegas ke ladang kelapa sawit berkenaan sebelum menemui mangsa terbaring berlumuran darah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana tiga kesan tembakan pada kiri badannya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lawas untuk bedah siasat.

"Suspek pula ditahan untuk siasatan lanjut manakala senapangnya dan selaras senapang jenis sama dibawa mangsa dipercayai untuk berburu turut dirampas," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, senapang itu diserahkan kepada Cawangan Persenjataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan ujian balastik dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana menyimpan dan memiliki senjata api tanpa lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 8:07 PM