ORANG ramai mendapatkan minyak masak yang dijual ketika program di Masjid Tanah, Melaka, semalam.


Kuala Terengganu: Hampir 2,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan Q-Fish habis dijual dalam tempoh sejam di Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat yang julung kali diadakan di Batas Baru di sini, semalam.

Lima tong besar ikan Q-Fish termasuk jenis kembung, selayang, cencaru dan tongkol hitam menjadi rebutan pengunjung pasar berkenaan yang mahu mendapatkan pelbagai barangan pada harga murah berbanding pasaran.

Q-Fish ialah ikan segar beku berkualiti dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dijual dengan harga murah kepada pengguna.

Selain ikan, lebih 5,000 pengunjung turut tidak melepaskan peluang membeli pelbagai barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan bawang yang dijual pada harga murah.

Pengunjung, Sharizatul Isma Mohd Shariff, 36, berkata, dia bersyukur kerana berpeluang berbelanja di pasar berkenaan, sekali gus membantu meringankan bebanan kos sara hidup.

Menurutnya, dia berpuas hati dengan harga ditawarkan penjual yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

“Ikan dijual di sini adalah ikan Q-Fish yang segar, tetapi murah. Sebagai contoh ikan selayang dijual hanya RM5 kg berbanding harga pasaran sekitar RM10 sekilo, manakala ikan kembung pula dijual RM9 kg berbanding RM18 sekg dan ikan tongkol RM10 seekor.

“Ikan Q-Fish tak sama dengan ikan kotak. Walaupun ia dibekukan tetapi ia masih segar dan sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, program anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu bertujuan untuk membantu menangani kos sara hidup khususnya rakyat yang tidak berkemampuan.

“Saya berpuas hati dengan sambutan hari ini (semalam) dengan lebih 5,000 pengunjung datang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian di sini.

“Harga ditawarkan murah berbanding harga pasaran yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak menjadikan program itu sebagai program bulanan dengan lokasi berbeza selepas melihat sambutan diterima daripada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:02 AM