KETUA Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari (tengah) bersama timbalannya, Superintendan Tan Boon Hooi (dua kiri) menunjukkan rampasan air ketum di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, di sini hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


TIGA pelajar antara 14 lelaki ditahan bersama rampasan 14 botol dan sembilan plastik mengandungi air ketum dalam dua serbuan di sekitar Batu Gajah, Rabu lalu.

Dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, menahan tujuh lelaki berusia 17 hingga 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Bakap Baru pada 2.30 petang.

Serbuan kedua dilakukan serentak pada waktu sama di rumah di Kampung Air Mati pula menahan tujuh lelaki berusia antara 16 hingga 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, ketika serbuan semua suspek sedang leka meminum air ketum.

Katanya, hasil semakan mendapati dua daripada 14 suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan memiliki air ketum.

"Tiga pelajar sekolah berusia antara 16 hingga 17 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu ditahan ketika serbuan kedua di Kampung Air Mati.

"Kita percaya kedua-dua rumah berkenaan dijadikan tempat persinggahan sejak dua bulan lalu dan ketika serbuan dijalankan, masing-masing sedang meminum air ketum.

"Hasil ujian air kencing bagaimanapun mendapati semua suspek negatif dadah," katanya pada sidang media di IPD Batu Gajah di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas 14 botol dan sembilan bungkusan plastik mengandungi cecair air ketum.

"Setiap botol dipercayai dijual dengan harga RM15 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih daripada RM300," katanya.

Beliau berkata semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 2:21 PM