GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar


POLIS menjalin kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan pengetahuan dan kepakaran bagi menangani trend baru jenayah penipuan komersial mata wang digital atau kripto, Bitcoin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, walaupun setakat ini kurang lima kes dilaporkan namun pihaknya akan sentiasa bersiapsiaga.

“Kita sedang jalankan siasatan ke atas kes membabitkan penipuan Bitcoin yang dilaporkan itu. Jumlah kerugian juga amat kecil.

“Walaupun jumlah kes dan kerugian masih terkawal, polis di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan memperkasa anggota dan pegawainya untuk menangani isu ini,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan Bulanan Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini


MOHAMAD Fuzi (kiri) bersama Amar Singh Ishar pada perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pihak BNM membantu polis dengan berkongsi pengetahuan membabitkan penipuan mata wang kripto kepada anggota dan pegawainya.

“Kes penipuan yang kita terima buat masa ini adalah membabitkan pencerobohan sistem perlombongan Bitcoin serta penipuan pembelian mata wang kripto itu.

“Kes masih rendah tapi kita akan pastikan kakitangan kita bersedia menangani kes sebegini,” katanya.

Pada 2014, BNM mengeluarkan kenyataan mengenai Bitcoin yang tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia.

Tahun lalu pula, BNM bercadang mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang kripto yang akan memberi tumpuan terhadap aspek anti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Bitcoin adalah satu mata wang kripto yang lahir secara digital dan ia diguna untuk memastikan keselamatan sesuatu transaksi kerana semua transaksi dijalankan menerusi kod.

Kajian Forum Kewangan Islam 2016 (IMF) menunjukkan nilai bitcoin lebih tinggi daripada minyak, emas dan mata wang Euro.

Selain Bitcoin, antara mata wang kripto lain ialah Ethereum, Zcash, Dash, Tezos, Ripple dan Monero.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 7:12 PM