SERAMAI 42 penumpang sebuah bas transit berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki tiba-tiba terbakar di Jalan Tebrau berhampiran Kampung Melayu, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.15 petang tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penumpang serta pemandu bas sempat menyelamatkan diri sebelum hampir keseluruhan bas terbabit musnah, terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Pegawai Bomba Kanan II Ronie Robert berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.26 petang.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa hampir setengah jam bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan bas terbabit.

“Semua penumpang dan pemandu bas terbabit sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 7:58 PM
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah bas yang terbakar di Jalan Tebrau, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan JBPM