PINTU depan pecah akibat dihempas penjaga premis ketika cuba melarikan diri menyebabkan serpihan kaca terkena lengan pegawai JIM. FOTO ihsan JIM.
Farah Suhaidah Othman


DUA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cedera termasuk seorang daripadanya menerima tiga jahitan di lengan akibat terkena serpihan kaca ketika serbuan di beberapa premis menjalankan aktiviti maksiat di sekitar Kamunting, semalam.

Serbuan membabitkan 47 pegawai dan anggota dari Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisis serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM bermula pada jam 2 petang dan berakhir empat jam kemudian itu menyaksikan tujuh premis pusat maksiat di sekitar bandar diserbu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ketika serbuan di salah sebuah premis, berlaku pergelutan dan cubaan melarikan diri.

“Akibat insiden itu, dua pegawai cedera dan seorang daripadanya menerima tiga jahitan di lengan berikutan terkena serpihan kaca pintu premis.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas salah seorang penjaga premis menghempas pintu di hadapan premis dan cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

“Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan anggota PASTAK yang membuat kepungan awal sebelum serbuan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, hasil serbuan di semua premis terbabit, pihaknya memeriksa 37 warga asing sebelum 24 wanita dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan memberikan perkhidmatan seks ditahan.

“Daripada 24 wanita ditahan, 18 adalah wanita warga Thailand, dua warga Filipina, seorang warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.

“Tiga individu warga tempatan dipercayai penyelia premis serta masing-masing seorang lelaki warga Myanmar dan Indonesia dipercayai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mustafar berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa selain melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, semua tahanan diserah kepada Bahagian Penguat Kuasa JIM bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat diberikan orang awam serta tidak akan berkompromi terhadap orang asing yang tinggal secara haram dan melakukan aktiviti maksiat di negara ini atau pihak melindungi pendatang asing tanpa izin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 8:52 PM