IBU bapa membawa anak melawat gerai pameran haiwan.
IBU bapa membawa anak melawat gerai pameran haiwan.
HM Digital

Kuala Nerus: Dalam masa dua hari, lebih 50,000 pengunjung menyertai pertandingan cabutan bertuah Ekspo Terengganu 2018.

Ekspo diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Negeri di sini, mendapat sambutan luar dugaan apabila pengunjung tanpa menghiraukan cuaca panas membanjiri tapak ekspo bagi mendapatkan hadiah lumayan ditawarkan.

Pengunjung, Halimah Yusof, 46, dari Kampung Wakaf Tapai, berkata, hadiah lumayan yang disediakan untuk cabutan bertuah hadiah kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu.

“Saya teruja untuk datang ke ekspo ini dan sejak awal pagi tiba bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di tapak ekspo semalam.

Katanya, selain cabutan bertuah pengunjung boleh mendapatkan maklumat berkaitan pembangunan negeri menerusi pameran di tapak ekspo berkenaan.

Hadiah lumayan termasuk tanah, rumah dan kereta bernilai lebih RM1.5 juta bakal dimiliki pengunjung Ekspo Terengganu bermula 25 Februari hingga 3 Mac ini.

Program menarik disusun bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai kejayaan pembangunan dilakar Terengganu.

Ekspo itu tidak terhad kepada aktiviti pameran pelbagai agensi kerajaan tetapi menyediakan lebih 200 lot jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS), 64 peniaga car boot sale, 55 peniaga kenderaan saji dan 20 peniaga T-Kitchen.

Pengunjung berpeluang beramah mesra bersama selebriti dan atlet negara, menonton persembahan kebudayaan dan temu duga terbuka untuk mereka yang mencari pekerjaan.

Seramai 400,000 dijangka mengunjungi ekspo tujuh hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 6:27 AM