AMIRUL Azhar (kiri) bersama  Amir Zaim  menyiapkan kapal terbang  kawalan jauh di ruang pameran Ekspo Muafakat Kedah, di pekarangan Stadium Darul Aman.
AMIRUL Azhar (kiri) bersama Amir Zaim menyiapkan kapal terbang kawalan jauh di ruang pameran Ekspo Muafakat Kedah, di pekarangan Stadium Darul Aman.
Aizat Sharif

Alor Setar: Setiap kali Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) berlangsung di Pulau Langkawi, dua pelajar ini pasti tidak melepaskan peluang untuk melihat persembahan jet pejuang yang berlegar di sekitar ruang udara berhampiran sekolah mereka.

Taasub dengan persembahan akrobatik udara pada acara dwi-tahunan itu, Amirul Azhar Jamailudin, 17, dan sahabatnya, Amir Zaim Mat Radzi, 17, menyimpan hasrat untuk mereka bentuk pesawat pejuang mereka suatu hari kelak.

Maka, tidak hairanlah apabila dua pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Langkawi, ini yang mewakili Kedah begitu tekun dalam menyiapkan dua model pesawat pejuang, Typhoon dan F-22 Mustang untuk diterbangkan pada Bengkel Kapal Terbang Kawalan Jauh sempena Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darulaman, di sini.

Amirul Azhar berkata, dia dan Amir Zaim yang ditemani oleh guru mereka, Fariz Asri, 37, sudah bertungkus-lumus sejak hari kedua ekspo berkenaan menyiapkan model kedua-dua pesawat pejuang itu.

“Kita menggunakan bahan seperti kadbod ‘foam’ dan tambahan barang seperti kipas kecil, bateri serta alat kawalan jauh yang diharap dapat menerbangkan pesawat ini.

“Kami sudah pun bermula sejak hari kedua ekspo ini berlangsung dengan menyiapkan model pesawat ini yang direka secara teliti sebelum dibentuk menjadi model pesawat pejuang Typhoon dan F-22 Mustang,” katanya.

Rakannya, Amir Zaim pula berkata, mereka begitu teruja dapat mewakili Kedah dalam bengkel berkenaan memandangkan sekolah mereka adalah perintis kepada program kapal terbang kawalan jauh.

“Setakat ini ia 90 peratus siap, namun perlukan penambahbaikan dari segi tenaga elektronik yang akan dijana ketika kami melakukan ujian penerbangan pesawat dijangka esok (hari ini).

“Selain itu, program ini memberikan kami peluang untuk menunjukkan bakat yang ada pada kami untuk merekacipta pesawat mengikut kreativiti sebelum menerbangkannya menggunakan kawalan jauh,” katanya.

Sementara itu, bagi Naqibah Ahmad, 16, dan rakannya Nureisya Shamsul, 16, dari SMK Gombak Setia, Selangor, bengkel yang diadakan itu menjadi platform kepada mereka untuk menunjukkan bakat mereka sebagai pereka cipta model kapal terbang.

“Walaupun kami perempuan, itu bukanlah penghalang untuk bersaing dengan peserta lelaki.

“Dalam bengkel ini, kami juga cuba akan menerbangkan pesawat pejuang Typhoon yang sudah pun direka sejak semalam (kelmarin),” katanya yang gembira dapat mewakili Selangor dalam bengkel berkenaan.

Sementara itu, lebih 10 peserta dari sekolah seluruh negara menyertai bengkel berkenaan yang diadakan sejak kelmarin dan mereka dijangka melakukan penerbangan ujian hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 6:39 AM