ANGGOTA AADK menahan lelaki disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah. FOTO ihsan AADK
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


SEORANG ibu hanya mampu menangis selepas tidak menyangka anak lelaki yang jarang keluar rumah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akibat positif dadah, di Beaufort, hari ini.

Ops Cegah selama empat jam bermula 1 hingga 5 pagi itu turut menahan lapan individu lain termasuk dua beradik.

Operasi membabitkan penguat kuasa AADK Beaufort dan AADK Negeriyang diketuai Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Beaufort, Effanehwati Lakat, berkata operasi dijalankan berdasarkan aduan orang ramai dan hasil risikan selama seminggu oleh anggota AADK Beaufort.

"Hasil operasi berkenaan, kita menahan sembilan individu yang disyaki penagih dalam operasi membabitkan dua kampung iaitu Kampung Jangkit dan Bundu, Kuala Penyu.

"Ujian saringan air kencing kesemua mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya ketika dihubungi, hari ini.


BEAUFORT 13 FEBRUARI 2018. Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Cegah, di Kampung Jangkit dan Bundu, Kuala Penyu, Beaufort. NSTP/IHSAN AADK. IHSAN AADK

Effanehwati berkata, ketika operasi di satu daripada kampung itu, seorang ibu terkejut dan menangis apabila anaknya ditahan.

"Menurut ibu terbabit, anaknya berusia lingkungan 20-an jarang keluar rumah namun tidak menyangka dia terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Semua tangkapan berusia 22 hingga 53 tahun," katanya.

Menurutnya, mereka yang positif kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman sementara menunggu keputusan pengesahan ujian air kencing dari Jabatan Patologi.

"AADK Beaufort akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagih dadah di daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 089-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 2:44 PM