PELAJAR tahfiz turut hadir pada majlis pra pelancaran World #QuranHour, hari ini.
PELAJAR tahfiz turut hadir pada majlis pra pelancaran World #QuranHour, hari ini.
Awaina Arbee


PELAKON Norman Hakim kini bergelar duta program tahunan World #QuranHour yang dijangka berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak bermula 7 Jun depan bersempena 22 Ramadan ini.

Norman akan menyertai pelakon Datuk Rosyam Nor sebagai ikon World #QuranHour.

Norman berkata, lokasi penganjuran acara berkenaan dianggap terbaik dalam menghimpunkan ramai generasi muda untuk menunjukkan penghargaan dan kecintaan terhadap agama Islam.

"Kalau (kita tahu) hari ini adalah hari terakhir kita hidup di muka bumi ini, kita akan bertaubat dan bekerja keras untuk hari akhirat selain mendapatkan syafaat Rasulullah SAW.

"Acara ini akan menjadi platform terbaik untuk umat Islam bersama-sama hadir, dalam memperbetulkan bacaan dan menilai keindahan tersembunyi di sebalik al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran World #QuranHour dan kerjasama dengan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Program dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk memastikan umat Islam boleh membaca, memahami, berinteraksi dan mengamalkan pembacaan al-Quran, sekurang-kurangnya sejam setiap hari.

Sementara itu, Norman turut mengajak bekas pelakon dan artis wanita yang sudah berhijrah untuk menyertai acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:09 PM