Zanariah Abd Mutalib


AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta bagi membantu menutup siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Majistret Norhidayati Mohamad Nasroh mengeluarkan perintah reman sehingga 5 Mac ini terhadap lelaki berusia 37 tahun itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Selasa lalu, suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 3.48 petang.

Difahamkan, suspek menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan kes yang dijalankan SPRM.

Sumber berkata, syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat antara Julai dan Ogos tahun lalu.

Menurutnya, pembayaran pertama berjumlah RM2 juta dibuat pada Julai tahun lalu di rumah suspek, manakala bayaran kedua sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lalu.

Projek mega terowong dasar laut itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya yang dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani yang mengesahkan penahanan itu, dipetik berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

SPRM juga membuka kertas siasatan dengan mula menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown dan seterusnya melakukan serbuan di lebih 50 lokasi termasuk di Lembah Klang.

Dalam siasatan itu, hampir 80 orang saksi dipanggil termasuk Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy dan EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng.

Dua individu bergelar Datuk turut ditahan bagi membantu siasatan isu berkenaan sebelum dibebaskan.

Berita berkaitan:

'Dapat RM19 juta tunai tu...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 1:53 PM
AHLI perniagaan bergelar Datuk Seri dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor