IBU dan anak gajah yang ditangkap di Kampung Gambaron, di Telupid dan dihantar ke Hutan Simpan Imbak. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
IBU dan anak gajah yang ditangkap di Kampung Gambaron, di Telupid dan dihantar ke Hutan Simpan Imbak. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Poliana Ronnie Sidom


DUA daripada lima gajah Pygmy Borneo yang ditangkap selepas menceroboh beberapa perkampungan, Telupid sejak lebih sebulan lalu, dipasang kolar satelit.

Dua gajah masing-masing betina dan jantan itu adalah daripada lebih 20 gajah yang dikesan berkeliaran di sekitar enam lokasi di sini, sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, setakat ini lima gajah termasuk seekor anak gajah sudah ditangkap dengan satu daripadanya iaitu gajah betina sudah dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak, Isnin lalu.

“Dua gajah membabitkan ibu dan anak sudah dimasukkan ke dalam kandang dan dihantar ke Hutan Simpan Imbak hari ini manakala, dua gajah jantan yang masih dirantai akan dihantar mengikut giliran.

“Hanya dua yang dipasang kolar satelit bagi membolehkan pemantauan ke atas pergerakan kumpulan gajah berkenaan. Semua lima gajah ditangkap di Kampung Gambaron,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan enam lokasi terdedah risiko gangguan gajah iaitu Kampung Liningkung, Kampung Bauto, Kampung Gambaron, Kampung Telupid, Pekan Telupid selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Konflik gajah dikesan berlarutan sejak awal tahun ini dengan gajah dipercayai adalah kumpulan sama yang menceroboh pada tahun lalu dan pernah dipindahkan ke Hutan Simpan Deramakot.

Augustine berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menangkap lima lagi gajah yang dikesan agresif, bermasalah dan cedera di Kampung Bauto.

Katanya, anggota JHL serta Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) bekerja gigih bagi mengawal pergerakan haiwan itu sejak sebulan lalu daripada mengganggu penduduk selain memusnahkan harta benda

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:26 PM