Abnor Hamizam Abd Manap


PELAJAR perempuan Tingkatan Empat yang ditahan polis semalam kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi yang baru dilahirkan dalam semak berhampiran rumah kosong di sebuah tanah rancangan FELDA di Jempol, Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, remaja itu dibebaskan 5 petang semalam dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

Katanya, bagaimanapun teman lelakinya yang berusia 18 tahun yang ditahan Petaling Jaya, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 kanun sama.

Perbuatan pelajar sebuah sekolah menengah itu terbongkar selepas dia dibawa ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Remaja itu mengaku melahirkan bayi lelaki seorang diri di dalam bilik air di rumah keluarganya, 7.15 malam pada 21 Februari lalu. Remaja itu kemudian memotong tali pusat menggunakan gunting.

Namun dia mendakwa bayinya meninggal dunia kira-kira 15 selepas dilahirkan dan panik dengan keadaan itu, dia membuang mayat bayinya di kawasan semak berhampiran rumah kosong berdekatan rumahnya.

Selepas dua hari melahirkan bayi, remaja terbabit yang tidak dapat menahan sakit terpaksa mengadu kepada ibu bapa kononnya terjatuh di sekolah sebelum dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat darah beku di dalam perut menyebabkan remaja itu dirujuk ke HTAN untuk rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan dipercayai baru melahirkan bayi.

Soal siasat dilakukan terhadap remaja itu mengakui melahirkan bayi dan membuangnya ke dalam semak dan mendakwa melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya berusia 18 tahun pada Ogos tahun lalu.

Pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Darah beku bongkar tembelang remaja

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:42 PM