ANGGOTA bomba memotong gari pada seorang tahanan narkotik selepas kunci gari berkenaan patah di IPD Bau, hari ini. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS mendapatkan bantuan bomba bagi memotong gari seorang lelaki yang menjadi tahanan narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, petang ini.

Kejadian 2.45 petang itu berlaku selepas kunci digunakan polis untuk membuka gari tahanan berkenaan patah.

Namun, selepas usaha membuka gari pada tangan tahanan yang tidak didedahkan identitinya itu tidak berhasil menyebabkan anggota bomba dipanggil.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas berkenaan daripada anggota polis pada 2.54 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudiannya dihantar ke IPD Bau bagi menjalankan khidmat khas memotong gari berkenaan.

"Kunci digunakan polis untuk menggari tahanan terbabit patah dan mereka tidak mempunyai peralatan untuk memotong gari.

"Pasukan bomba kemudiannya menggunakan mesin pemotong khas bagi memotong gari pada tangan tahanan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi khidmat khas itu perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan pada tangan tahanan terbabit.

Katanya, operasi berkenaan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum gari berkenaan berjaya dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:51 PM