Noor Atiqah Sulaiman


ULAT teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di Sepang menjadikan pekerja warga asing di lapangan terbang itu sebagai ‘tonto’ untuk melepaskan diri daripada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pekerja asing terbabit dipercayai memberi maklumat kepada ulat teksi sekiranya pihak berkuasa menjalankan operasi.

Katanya, disebabkan itu, kebanyakan operasi dijalankan JPJ gagal walaupun kehadiran ulat teksi dilihat semakin berleluasa.

“Jika ulat teksi ini mendapat maklumat kehadiran pihak berkuasa, mereka tidak akan mengambil atau mencari penumpang dan begitulah sebaliknya.

“Kebanyakan ulat teksi ini mendekati pekerja asing di lapangan terbang untuk menjadikan mereka sebagai rakan, kemudian barulah mereka bertukar maklumat berkaitan operasi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Mengesan Ulat Teksi di KLIA dan klia2, malam ini.


SHAHARUDDIN (dua dari kiri) mengadakan tinjauan ulat teksi pada Operasi Khas Mengesan Ulat Teksi di KLIA, hari ini. FOTO Noor Atiqah Sulaiman

Shaharuddin berkata, kebanyakan ulat teksi itu mengenakan bayaran tidak sekata yang secara tidak langsung memberi gambaran negatif kepada pelancong yang memasuki negara ini.

“Ada antara ulat teksi ini pada mulanya memberikan kadar bayaran RM80 hingga RM100 dari KLIA ke Kuala Lumpur.

“Sebaik sahaja tiba ke destinasi, ulat teksi ini meminta bayaran sehingga AS$100 (RM392) walhal kadar bayaran sebenar dari KLIA ke Kuala Lumpur hanya sekitar RM65 hingga RM80,” katanya.

Sementara itu, mengenai operasi yang diadakan sejak Ahad lalu, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan 10 ulat teksi yang sedang mencari penumpang di Balai Ketibaan lapangan terbang berkenaan.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 10:23 PM