HALIMI menunjukkan antara spesies ikan yang dilarang import ke Malaysia.
HM Digital

Seremban: Hanya satu daripada 30 pengusaha kedai akuarium yang direkodkan di negeri ini memiliki surat kebenaran menjual ikan hiasan import.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihati pengusaha akuarium yang belum memiliki surat kebenaran segera berdaftar dan memohon dengan jabatan itu.

Beliau berkata, surat kebenaran menjual ikan import penting bagi memantau jenis spesies ikan hiasan import dan jumlahnya termasuk yang sudah dijual.

“Ini kerana kita tidak mahu ikan perhiasan import terlepas atau dilepaskan di perairan umum seperti di sungai, tasik atau longkang yang mengundang gangguan keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di negara ini,” katanya ditemui di Program Jalinan Mesra Perdana Nelayan dan Penternak Akuakultur #MyDof 2018 di Pejabat Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, antara ikan perhiasan import yang popular adalah serrasalmus, serrasalmo, pygocentrus, catoprian, pygopritis, colosomma, mylossoma, mylopus, pristobrycon, myletes, salmo, oncorhynchus, cichla, esox, cichlasoma, acipenser, arapaima dan lepisosteus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 7:31 AM