ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter di dalam stor rumah penduduk.
Safuri Kamarudin

Baling: Seorang penduduk di Kampung Charok Putih, Siong di sini, terkejut apabila mendapati ular tedung selar sepanjang lima meter (m) berada di dalam stor rumahnya, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, penduduk itu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mengesan kelibat ular tedung selar terbabit.

“Reptilia seberat empat kilogram itu agresif tetapi empat anggota APM menumpaskannya selepas 20 minit,” katanya.

Mohd Faizol berkata, ia ular berbisa yang keenam ditangkap APM daerah ini dalam tempoh dua bulan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam lebih berhati-hati berikutan keadaan cuaca panas dan kering menyebabkan haiwan berbisa keluar mencari air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:39 AM