ISMAIL dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang warga emas dipenjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu urusan pembelian saham Koperasi Pelaburan Pekerja Proton Berhad (KOPRO) berjumlah RM350,000.

Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Basir, 67, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah memerintahkan Ismail dihukum penjara 12 bulan dan denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan kerana mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman itu secara serentak bermula 16 Januari lalu.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara masing-masing enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ismail didakwa membabitkan diri dalam satu perbuatan yang beroperasi sebagai penipuan KOPRO berhubung pembelian saham Proton Holdings Berhad sehingga menyebabkan KOPRO menyerahkan wang berjumlah RM350,000 melalui tiga cek Affin Islamic Bank Berhad untuk tujuan pembelian saham berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di KOPRO, kawasan Perindustrian HICOM Batu 3, Shah Alam, antara 7 Ogos 2007 dan 21 November 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 182 akta sama serta Seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Kedua-dua akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda yang boleh sampai RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Zul’Aida Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ismail dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman yang rendah kepadanya atas alasan dia menyesal dengan perbuatannya.

Zul’Aida bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

“Tertuduh tidak bekerja dengan institusi kewangan tetapi tindakannya yang menyamar sebagai individu dari sektor kewangan telah menipu KOPRO dengan memberi nota dan kontrak palsu berhubung pembelian saham Proton,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Ismail tidak pernah dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk bergiat dalam aktiviti berkaitan pasaran modal, bagaimanapun pada 2 Ogos 2007 dia berjaya mempengaruhi KOPRO menerusi satu taklimat sehingga lembaga pengarah KOPRO meluluskan resolusi bagi beberapa perkara antaranya membuka satu akaun perdagangan saham dan melantiknya sebagai remisier.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:45 AM