ADIK (kiri) kepada lelaki yang melarikan diri antara individu yang ditahan dalam operasi. FOTO ihsan AADK
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI 'meninggalkan' adiknya sebelum memecut motosikal untuk melarikan diri selepas sarang menagih dadah berhampiran landasan Stesen KTM Komuter di Jalan Reko, Kajang diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Kedua-dua adik-beradik berkenaan yang berusia lingkungan 20-an dikatakan pergi bersama-sama ke lokasi terbabit untuk melepaskan gian sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat serbuan di kawasan berkenaan.

Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran anggota penguat kuasa terus memecut motosikalnya dan meninggalkan adik perempuan, 28, yang masih dalam keadaan khayal di lokasi itu.

Dalam serbuan yang sama, lelaki berusia 36 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan didapati terbuang air besar di dalam seluar dipercayai akibat terlalu khayal.

Kedua-dua lelaki berkenaan adalah antara 15 individu termasuk dua wanita yang ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Hulu Langat dalam serbuan bermula 6 pagi hingga 1 tengah hari kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 20 individu yang berada di lokasi berkenaan ketika serbuan.

"Kami menahan 15 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun selepas didapati positif pelbagai jenis dadah hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan.

"Ketika serbuan dijalankan, kebanyakan mereka masih dalam keadaan khayal dan tidak sempat melarikan diri memandangkan kawasan berkenaan sudah dikepung.

Muhammad Ramlan berkata, kawasan itu kerap kali diserbu pihaknya, namun ia masih menjadi lokasi pilihan penagih dadah tegar sebagai 'sarang' untuk melepaskan gian mereka.

"Sebelum ini, kami pernah memusnahkan 'port' atau sarang menagih dadah di kawasan itu termasuk pondok kecil yang dibina bagi tujuan berkenaan, tahun lalu. Namun, mereka tidak serik dengan menjadikan kawasan semak berhampiran di lokasi berkenaan untuk melepaskan gian.

"Kali terakhir kami membuat serbuan di kawasan itu pada bulan lalu dan 16 individu yang berusia antara 27 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi itu," katanya.

Katanya, pihak AADK Hulu Langat akan melakukan serbuan secara konsisten terutama membabitkan lokasi panas yang dijadikan sebagai sarang menagih dadah di daerah itu dalam usaha mengekang aktiviti berkenaan daripada semakin menular.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 12:38 PM