ANGGOTA bomba mengangkat jenazah Mohd Azim yang lemas ketika mandi bersama rakannya di air terjun Lata Payung, Setiu, hari ini. FOTO ihsan bomba
Nurul Fatihah Sulaini


KEGEMBIRAAN empat rakan karib mandi-manda di kawasan air terjun Lata Payung, Sungai Tong, Setiu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, tengah hari ini.

Mangsa, Mohd Azim Rohaizat, 20, penuntut jurusan Diploma Akauntan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan berasal dari Kampung Bukit Berangan, Tepoh, Kuala Nerus meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar 1 tengah hari.

Difahamkan, mangsa bersama tiga rakannya Abdul Hafidzuddin Mohd Ali, 21, Muhammad Ghazwan Taib, 20, dan Adam Fahmi Mohd Tahir, 22, tiba di kawasan perkelahan itu jam 12 tengah hari.

Abdul Hafidzuddin berkata, mereka merancang sejak sebulan lalu untuk mandi-manda sebelum masing-masing kembali ke tempat belajar pada 5 Mac ini.

"Kami bertiga iaitu arwah, saya dan Ghazwan memang rapat sejak dari tingkatan satu lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manir dan kami ada group WhatsApp sendiri.

"Jika ikutkan hari ini kami bercadang untuk mandi di Gambang, Kuantan namun menukar rancangan mandi di Lata Payung kerana saya dan arwah belum pernah sampai ke sini," katanya ketika ditemui di Hospital Setiu, hari ini.

Hafidzuddin yang juga penuntut UiTM Jengka jurusan Diploma Kejuruteraan Awam berkata, mereka menaiki keretanya ke kawasan perkelahan itu.

“Saya dan arwah tidak pandai berenang, tetapi kami dibantu Ghazwan dan Adam untuk mengharungi air sungai dengan berpaut tangan serta meniti atas tiga batu besar," katanya.

Sementara itu Ghazwan berkata, sewaktu arwah cuba mengharungi arus sungai untuk ke batu ke tiga dan pergi ke tempat Hafidzuddin, arwah tergelincir.

"Saya sempat memaut tangannya, tetapi arwah tiba-tiba panik kerana lemas sambil meronta menjerit minta tolong dan menolak kembali tangan saya.

"Arwah tenggelam ke dasar sungai sebelum saya serta Adam menyelam untuk menarik tangan arwah sambil saya berpaut pada kayu dihulur Hafidzuddin.

“Kami bawa arwah naik ke tepi sungai sebelum anggota penyelamat tiba," katanya.

Ghazwan berkata, seminggu sebelum kejadian arwah menunjukkan sedikit kelainan apabila keluar lepak ke kedai seorang diri.

"Malam tadi, kami bertiga sempat habiskan masa bersama dan pergi ke Ekspo Terengganu serta sempat mengisi borang cabutan bertuah.

“Arwah anak sulung daripada tiga beradik adalah sahabat amat baik, bijak serta sangat menjaga solat terutama apabila kami keluar bersama.

"Jika diikutkan kami juga mahu membuat kejutan sempena hari lahirnya pada 23 Mac ini namun tidak kesampaian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan 1.02 tengah hari dan sampai di lokasi 40 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 9:28 PM