Pengantin terpaksa makan di meja tetamu disebabkan tiada makanan di meja beradap.
Pengantin terpaksa makan di meja tetamu disebabkan tiada makanan di meja beradap.
HM Digital

Kuala Lumpur: Mereka melakukan perancangan selama setahun bagi memastikan majlis persandingan diimpikan berlangsung dengan meriah dan menjadi kenangan paling indah dalam hidup.

Namun kegagalan syarikat khidmat katering diupah menunaikan janji bukan setakat menyebabkan majlis persandingan pasangan itu di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Gadek, Alor Gajah, Melaka, 13 Februari lalu, terbantut malah mereka menanggung malu berikutan makanan dihidangkan kepada tetamu sudah basi.

Malah sebagai pasangan raja sehari, Nur Syuhada Syuhadah, 24, dan suami, Mohd Azrien Ramli, 30, berasa kecewa kerana syarikat katering terbabit didakwa tidak menyediakan hidangan istimewa untuk pengantin

Meluahkan kekecewaannya, Nur Syuhada yang bekerja sebagai pembantu akaun berkata, dia merancang hari bahagia berkenaan sejak awal Februari tahun lalu dengan mengupah syarikat katering berkenaan selepas melihat iklan ditawarkan menerusi Facebook (FB).

Katanya, syarikat katering berpengkalan di Rawang, Selangor, itu menawarkan harga promosi RM15,700 membabitkan perkhidmatan jurugambar, pelamin, makanan untuk 1,000 tetamu, hidangan pengantin dan jurusolek.

“Saya tertarik dengan harga ditawarkan. Pembayaran dilakukan menerusi tiga transaksi bernilai RM13,000 dibuat sebelum majlis persandingan.

“Namun seminggu sebelum majlis, naluri saya mengatakan ada tidak kena berikutan wakil syarikat ketering itu menghubungi saya bagi memberitahu mereka tidak dapat sediakan jurugambar dan jurusolek,” katanya.

“Ketika itu, saya sudah dapat membayangkan perkara buruk bakal berlaku pada hari perkahwinan, kerana terlalu risau terlintas di fikiran saya untuk batalkan sahaja majlis itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:30 AM