Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


TIGA sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 52.819 kilogram (kg), Februari lalu.

Tertuduh Affyzal Mohd, 32, Mohd Syafie Zainal, 35, dan Nazrin Wazed, 31, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mereka didakwa secara bersama-sama bagi mencapai niat bersama, mengedar dadah jenis methamphetamine berat kasar 52.819 kg di Taman Seri Mangga pada 2.30 pagi, 17 Februari lalu.


TERTUDUH yang berdepan tuduhan mengedar dadah diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya S Sivashangari tidak menawarkan ikat jamin kerana kes yang dilakukan adalah serius.

Manakala, ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:44 PM