ANGGOTA polis memeriksa premis yang menjalankan aktiviti judi haram di Ampang.
Safeek Affendy Razali dan Teoh Pei Ying

Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik lesen atau permit Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang lazimnya untuk permainan kanak-kanak.

Itu taktik sindiket perjudian yang dikesan cuba menghidupkan kembali aktiviti mereka dengan ‘bermain wayang’ di sebalik operasi sebenar dijalankan.

Bagaimanapun, modus operandi itu terbongkar apabila Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah premis di D Pandan Avenue, Taman Pandan Mesra, Ampang, di sini, kelmarin, yang menjalankan kegiatan perjudian mesin simulator meja serta simulator kotak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sudah menjalankan pemantauan dan risikan mengenai cubaan menghidupkan kembali aktiviti perjudian.

“Dalam serbuan malam tadi (kelmarin), pihak D7A Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 30 tahun yang bertindak sebagai penjaga di premis berkenaan.

“Selain itu, lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, Vietnam serta Bangladesh dipercayai pemain mesin berkenaan turut ditahan,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Beliau berkata, pemilik premis didapati mempamerkan lesen PHK dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun sebaliknya mereka menjalankan kegiatan perjudian.

“Secara amnya, premis PHK harus beroperasi dalam pusat beli-belah kerana menyediakan mesin permainan berbentuk rekreasi dan interaktif untuk kanak-kanak serta remaja namun dalam premis ini, pintunya dikunci selain berada dalam keadaan mencurigakan.

“Jadi, saya tidak nafikan kemungkinan ini adalah cubaan sindiket perjudian di seluruh negara untuk membuka semula aktiviti judi mesin,” katanya.

Rohaimi berkata, pihaknya turut mengenal pasti taktik sindiket berkenaan yang kini berusaha menjadikan kawasan komersial di Selangor khususnya untuk membuka semula premis mesin judi.

Tinjauan di premis itu mendapati, pemiliknya menampal poster menyatakan tiada wang tunai dibayar kepada pemenang mesin untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan polis.

Namun, hakikatnya berbeza apabila polis merampas sembilan cip tambah nilai serta 20 keping kad mata dan wang tunai RM454 dipercayai untuk pembayaran kepada pemenang mesin permainan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:51 AM