NUR Amin mengendalikan pesawat pejuang Hawk.
NUR Amin mengendalikan pesawat pejuang Hawk.
Norizuan Shamsuddin

Tidak gentar walaupun pesawat dipandu hampir terhempas pada ketinggian lebih 2,000 kaki (609.6 meter) akibat kerosakan enjin.

Itu antara cabaran yang dihadapi Kapten Muhammad Nur Amin Jaamat yang bertugas sebagai juruterbang operasi pesawat pejuang Hawk di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Labuan, Sabah.

Dia yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat berkata, pelbagai pengalaman dilalui sebagai juruterbang pesawat pejuang termasuk berdepan dengan detik cemas yang mengancam nyawa.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah sewaktu melakukan latihan dekat Butterworth, Pulau Pinang pada 2016, ketika mana saya terpaksa melakukan pendaratan cemas disebabkan pesawat dikendalikan mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan enjin pesawat gagal berfungsi.

“Sewaktu kejadian, saya kaku seketika dan hampir pasrah dengan apa yang berlaku. Namun saya kuatkan semangat dengan prinsip pantang menyerah sebelum ajal dan saya cuba sedaya upaya menghidupkan enjin.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya menghidupkan semula enjin dan melakukan pendaratan cemas dengan selamat,” katanya.

Lulusan Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini berkata, kejadian berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan ruang udara negara daripada ancaman musuh.

NUR Amin bersama pegawai dan anggota TUDM.
NUR Amin bersama pegawai dan anggota TUDM.

“Walaupun pernah berdepan situasi cemas, perkara itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan khidmat bagi mengendalikan pesawat pejuang milik TUDM dan menganggap kejadian itu sebagai asam garam sebagai juruterbang.

“Malah, saya kini semakin aktif melakukan latihan penerbangan termasuk latihan akrobatik dan sehingga kini melakukan lebih 300 jam penerbangan,” katanya.

Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia bersyukur kerana keluarga sering memberi sokongan kepadanya untuk terus bersemangat bagi meneruskan kerjaya yang diminatinya.

“Ibu, ayah dan adik-beradik juga faham mengenai tanggungjawab saya sebagai pegawai tentera yang mengendalikan pesawat pejuang.

“Mereka tidak pernah menghalang saya menceburi kerjaya yang saya minat ini. Mereka tetap menaikkan semangat saya untuk terus mencurahkan bakti kepada negara walaupun sedar ia berisiko tinggi.

“Perancangan saya pada masa akan datang adalah menambah pengalaman dan ilmu pengetahuan mencapai matlamat untuk menjadi jurulatih penerbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 8:28 AM