Simbolik paluan gendang diadakan sebagai pelancaran sambutan Tahun Baru Cina anjuran MACMA Selangor di Surau Saujana Impian.
Garret Dawum
news@nstp.com.my

Kajang: “Majlis ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kaum, tetapi turut melahirkan serta meningkatkan rasa hormat terhadap rumah ibadat.

“Hidup dalam pelbagai kaum memang memerlukan kita untuk saling memahami,” kata pengasas Pertubuhan Kebajikan Chester Selangor Shirley Lee, 53.

Shirley yang ditemui ketika sambutan Tahun Baru Cina 2018 di Surau Saujana Impian di sini, semalam, berkata, dia sangat bertuah kerana diberi peluang mengunjungi surau buat kali pertama.

“Saya memang tidak pernah memasuki surau apa lagi berada di pekarangannya. Jemputan menghadiri sambutan Tahun Baru Cina ini sebenarnya sangat bermakna buat saya dan juga 40 warga emas Rumah Chester.


SHIRLEY Lee

“Di sini kami mendapat penerangan terperinci berkenaan surau serta fungsinya, sekali gus memberi persepsi positif kepada kami yang beragama lain mengenai Islam,” katanya.

Kira-kira 600 penduduk setempat hadir memeriahkan majlis terbabit yang bertemakan Menuju Ke Arah Komuniti Harmoni anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor.

Seorang lagi tetamu, Lee Soon Hing, 53, berkata, dia gembira apabila menerima jemputan daripada pihak yang menganjurkan program terbabit untuk meraikan perayaan kaumnya.

“Tidak sangka ada yang prihatin dan memberi peluang kepada kami menyambut Tahun Baru Cina bersama kaum lain.

“Ternyata majlis ini membuktikan tiada perbezaan antara kaum dan agama. Keharmonian itu memang sesuatu yang perlu dijaga,” katanya.


Masyarakat bukan Islam diberi penerangan berkenaan fungsi surau.

Sementara itu, Pengerusi MACMA Selangor Syafiq Raffiqin Liow, 42, berkata penganjuran program berkenaan satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya dalam usaha membuka minda tempat beribadat terbabit bukan untuk umat Islam semata-mata.

“Tak kenal maka tak cinta. Itu perumpamaan sesuai kerana surau juga boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama selagi ia tidak bercanggah serta bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Pengerusi Surau Saujana Impian Ibrahim Hussain, 51, berkata, penganjuran kali pertama program itu di surau berkenaan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan kebudayaan Tionghoa, orkestra, pameran, cabutan bertuah dan pertandingan kaligrafi sangat meriah dengan kehadiran penduduk bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 10:21 AM