MOHD Fitri diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


MEKANIK mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas dakwaan memiliki pemetik api curi pada Februari lalu.

Tertuduh Mohd Fitri Mohd Hatta, 31, dari Pulau Gadong membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sembilan unit pemetik api pelbagai warna bertulisan ‘KK’ milik KK Supermart Superstore Sdn Bhd iaitu hasil rompakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsa di Lorong Pandan pada 3.30 petang, 8 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung ibunya seorang warga emas serta bapa berstatus orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:52 PM