LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.


TEMPOH tahanan reman terhadap seorang lelaki yang menceroboh Istana Bukit Serene, Johor Bahru dilanjutkan tiga hari sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais dalam kenyataannya berkata, reman ke atas suspek dilanjutkan sehingga 8 Mac ini untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Shahurinain bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun meminta orang ramai memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari Khamis lalu, suspek, 31, bukan saja menceroboh kawasan larangan, malah cuba mencuri kereta Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Suspek yang positif dadah jenis methapathemine memandu Proton Waja dan meluru masuk ke pintu utama istana di Jalan Straits View yang dikawal anggota Timbalan Setia Johor (JMF).

Suspek berkenaan dikatakan menuju ke garaj, namun perbuatan mencurigakan itu disedari seorang kakitangan istana.

Lelaki itu dikatakan duduk di dalam kereta Ferrari biru sebelum kakitangan berkenaan sempat menarik kunci kereta berkenaan.

Suspek kemudian melarikan diri melalui laluan sama.

Sebaik menerima laporan sepasukan polis melakukan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) istana dan berjaya memberkasnya beberapa jam kemudian di sekitar Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 9:05 PM