KEMALANGAN membabitkan dua kereta selepas kereta Perodua Myvi dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dekat Cheras. FOTO Ihsan ITIS
Mohd Hasbi Sidek


LELAKI memandu secara melawan arus sejauh kira-kira 300 meter di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dekat Cheras, Kuala Lumpur, pagi semalam, sebelum bertembung dengan Toyota Vios dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, pemandu Perodua Myvi berusia 30-an dan pemandu Toyota Vios bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

Ranger Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zul-Atfi Abdul Wahid Amin berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada tayar.

"Pihak kami menerima panggilan mengenai kemalangan kira-kira 8 pagi sebelum bergegas ke lokasi untuk membantu mengalihkan kenderaan yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Maklumat yang kami terima mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an memandu kereta Perodua Myvi secara melawan arus dari Bulatan Billion menghala ke arah Bukit Jalil," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi selepas memandu kira-kira 300 meter dari Bulatan Billion, kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki tidak sempat mengelak kereta Perodua Myvi berkenaan sebelum bertembung.

"Kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan, namun kereta masing-masing rosak pada bahagian tayar dan terpaksa dialihkan menggunakan lori tunda.

"Ketika kejadian, kami cuba mendapatkan maklumat daripada pemandu Perodua Myvi, namun dia seolah berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kedua-dua kenderaan dialihkan kira-kira 20 minit sebelum laluan dibuka sepenuh kepada pengguna jalan raya. Sebelum itu, kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira empat kilometer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:59 PM