Nur Syazwana Mansor


SUAMI isteri warga emas melalui detik cemas apabila terperangkap selama hampir 30 minit di bawah runtuhan rumah didiami dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di Yan, petang semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, Hamid Umar, 84, dan isterinya, Siti Hajar Ismail, 76, gagal mencari jalan keluar dari rumah apabila dinding dan bumbung rumah mereka ranap dipukul ribut.

Mereka kemudiannya menjerit minta pertolongan daripada jiran yang kemudian datang membantu.

"Bumbung serta dinding rumah kami runtuh akibat dilanda angin kuat terbabit menyebabkan saya dan isteri tidak dapat keluar kerana runtuhan terbabit menghalang pintu keluar.

"Pintu depan dan dapur turut terhalang menyebabkan saya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada jiran terdekat.

"Syukur ada jiran mendengar jeritan kami dan berusaha mengeluarkan kami daripada runtuhan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Lateh, Bukit Besar, Yan, hari ini.

Umar berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya sedang berehat dan kejadian itu menyebabkan mereka hilang tempat tinggal apabila rumah didiami sejak lebih 50 tahun lalu musnah sama sekali dan kini perlu menumpang di rumah anaknya, Siti Asa, 60.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami tidak cedera,” katanya.

Difahamkan sebanyak 51 rumah membabitkan penduduk dari Kampung Haji Lateh, Kampung Alor Pinggu, Kampung Batu 11, Kampung Gelam dan sekitar kawasan Bukit Besar turut mengalami nasib sama dalam kejadian terbabit.

Mangsa lain, Othman Jaafar, 75, berkata dia sedang berehat di luar rumah ketika melihat awan hitam serta angin kencang menghala ke arah rumahnya.

“Belum sempat menghabiskan air kopi, saya mendengar deruan angin kuat. Saya lihat kepingan bumbung rumah diterbangkan menghala ke arah saya lantas saya bergegas meninggalkan kawasan rumah.

“Saya menjerit kepada isteri untuk keluar dari rumah sebelum melaungkan azan,” katanya.

Othman berkata, rumahnya mengalami kerosakan di bahagian dapur, ruang tamu dan bilik tidur.

Sementara itu, 40 kotak bantuan Barakah diagihkan kepada mangsa oleh penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau merangkap Ketua Wanita Bahagian Jerai Datuk Norma Awang yang mewakili Ahli Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Kita sedang kumpul dan mengemaskini maklumat setiap mangsa untuk bantuan susulan," katanya.

Berita berkaitan

'Ribut landa tiga kampung'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 3:56 PM
SITI Asa duduk di atas tangga depan rumah milik ayahnya yang musnah dilanda ribut di Kampung Haji Lateh, Bukit Besar, Yan, semalam. FOTO Sharul Hafiz Zam