SEBAHAGIAN bekas pelajar dan guru SMSB sesi 1979 hingga 1983 bergambar kenangan dalam Majlis Alumni SMSB di Dewan SMK Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap, Nibong Tebal, kelmarin. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin


PERJUMPAAN semula 80 bekas pelajar bersama enam bekas guru Sekolah Menengah Sungai Bakap (SMSB), Nibong Tebal sesi 1979 hingga 1983, kelmarin bukan sahaja membangkitkan nostalgia silam, malah ada di antara terkenang kisah cinta yang membawa ke jinjang pelamin.

Bekas pelajar, Nor Azni Muhamed Nor berkata, dia dan suami, Nasir Ahmad, masing-masing berusia 52 tahun, mula mengenali antara satu sama lain dan membibitkan perasaan cinta sewaktu berada di tingkatan dua sekolah berkenaan pada 1980.

Menurutnya, dia tidak menyangka hubungan antara mereka yang dulunya hanya sekadar 'cinta monyet' ketika remaja, berterusan sebagai suami isteri apabila diijabkabulkan pada 1989 ketika mereka berusia 23 tahun.

"Dulu kami hanya akan bertemu ketika mengulangkaji pelajaran di perpustakaan dan paling menarik adalah kerap bertemu secara 'kebetulan' di pasar malam di Sungai Bakap setiap Sabtu, sekali gus membawa kepada jodoh kami.

“Alhamdulillah, kami dikurniakan lima anak berusia antara 16 hingga 29 tahun dan majlis 'reunion' ini bukan sahaja mengimbau kenangan manis, malah membangkitkan kenangan percintaan kami yang penuh nostalgia sewaktu di SMSB," katanya.

Mereka antara bekas pelajar dan guru yang diraikan dengan melakukan simbolik memotong pulut kuning dalam Majlis Alumni SMSB di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, Sungai Bakap, Nibong Tebal, kelmarin.

Turut hadir, Pengetua SMK Tun Syed Sheh Barakbah Abdul Rahim Affandi.

Sementara itu, Pengerusi Alumni SMSB Siri 1979-1983 Rosli Saidin berkata, perjumpaan itu julung kali diadakan selepas mereka membawa haluan dan mempunyai komitmen tersendiri, sekali gus bertemu di SMSB yang kini sudah ditukar nama baharu kepada SMK Tun Syed Sheh Barakbah.

Beliau berkata, pada majlis itu dua bekas pelajar dan tiga bekas guru berjaya bertemu jodoh, sekali gus memberikan 'kejutan' kepada beberapa bekas pelajar dan guru yang hadir dalam majlis itu.

"Penubuhan kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp dan Telegram serta penggunaan laman sosial Facebook sejak penghujung tahun lalu berjaya mengumpulkan mereka semula.

"Oleh itu, kami nekad mengadakan perjumpaan semula ini dan merancang akan menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri membabitkan bekas pelajar dan bekas guru dari sesi 1971 hingga sekarang bagi merapatkan silaturahim antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 10:16 PM