ANGGOTA Bomba mengiringi suspek kes rogol di tahan polis di Lawas. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KESENGSARAAN seorang wanita yang dijadikan tempat melempias nafsu bapa kandung sejak 10 tahun lalu berakhir apabila lelaki terbabit ditahan polis, di Merapok, Lawas, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas di rumahnya selepas polis menerima laporan daripada mangsa berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya sejak mangsa berusia 15 tahun.

Menurutnya, kali terakhir mangsa dirogol suspek ketika berada di pondok kebun getah di Kampung Languban, di sini, 10 pagi, 1 Februari lalu.

"Tidak tahan terus diperlakukan sedemikian menyebabkan mangsa membuat keputusan untuk melaporkan kejadian kepada polis di Balai Polis Lawas semalam.

"Berdasarkan laporan berkenaan, suspek ditahan polis ketika berada di rumahnya dan dibawa ke IPD Lawas untuk siasatan lanjut," katanya, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek sering mengugut dan memarahi mangsa supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa terutama ahli keluarga sehingga menyebabkan wanita itu takut.

Katanya, mangsa juga memaklumkan suspek melakukan perbuatan terkutuk itu sekali dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada 10 ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian.

"Mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Lawas untuk pemeriksaan kesihatan manakala suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 11:49 AM