Mohamed Sahidi Yusof
cnews@nstp.com.my


KONSTABEL polis terpaksa menerima enam jahitan di jari tangan kanan selepas ditetak dengan parang ketika menjalankan tugas risikan di Kampung Bukit Capong Kuala Tiga, Tanah Merah, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun dan bertugas di Balai Polis Gual Ipoh itu cedera di jari telunjuk kanan, calar di belakang kepala dan belakang badan akibat diserang menggunakan senjata berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya sedang melakukan rondaan mengesan kegiatan pengedaran dadah dalam Ops Bersepadu di Kampung Peralla, Tanah Merah.

"Ketika rondaan itu, mangsa terserempak dengan sekumpulan lima lelaki Melayu bersama motosikal masing-masing dan cuba menangkap seorang suspek kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, mangsa dipukul di kepala dari arah belakang. Dia kemudian menoleh dan mendapati seorang lelaki dipercayai bapa suspek memegang sebilah parang," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian melarikan diri sejauh 100 meter untuk menyelamatkan diri selepas dikejar suspek dan rakannya sebelum masuk ke dalam kenderaan rakannya dan menuju ke Balai Gual Ipoh.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) bagi menerima rawatan.

"Dua pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan serta balai berhampiran digerakkan bagi mengesan suspek berusia 50-an bermula malam tadi," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 6:14 PM