Zainol Fadzi (dua kanan) berbual dengan Faridah (tiga kanan) dan Sahara (empat kanan) pada Program Ziarah Kasih Perakfm Prihatin. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

PERASAAN gembira dan terharu jelas terpancar pada wajah ibu tunggal, Faridah Said, 52, apabila rumahnya meriah dengan aktiviti gotong-royong pada Program Ziarah Kasih Perakfm Prihatin bersama Masyarakat di Kampung Sitiawan hari ini.

Faridah berkata, masanya banyak dihabiskan menjaga dan mengurus ibunya, Sahara Mohd Arif, 80, yang mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan gastrik.

"Sebelum ini saya bekerja di kedai makan namun mengambil keputusan berhenti kerana mahu menjaga mak yang kesihatannya semakin merosot sejak tujuh tahun lalu.

"Mak sudah tak boleh melihat kerana saraf belakangnya rosak kesan daripada kencing manis sejak tiga tahun lalu, malah kaki kirinya patah dan tidak boleh dibedah kerana berisiko tinggi disebabkan faktor usia.

"Sebelum ini saya menjaga emak di rumahnya namun selepas adik tinggal bersama, saya berpindah ke rumah kami sekarang ini namun saya masih menjaganya bersama dengan adik," katanya yang tinggal bersama tiga anaknya di rumah itu.

Katanya, rumahnya adalah bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), oleh kerana keadaan yang sempit dan kurang selesa ibunya tidak dapat bermalam di kediamannya.

"Kalau boleh saya harap ada bantuan untuk membesarkan sedikit ruang rumah ini supaya lebih selesa. Mahu buat sendiri tidak tahu bila kerana saya tidak berkerja dan hanya bergantung dengan bantuan anak yang juga mempunyai tanggungan lain," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, Faridah turut menerima sumbangan barang keperluan dan kerusi roda untuk ibunya yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Perak, Sabri Mansor.

Sementara itu Zainol Fadzi berkata, program itu adalah inisiatif untuk membantu meringankan beban ibu tunggal berkenaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM100,000 melalui Tabung Bencana Daerah yang diagihkan kepada 194 keluarga di dua kawasan Hilir Perak yang terjejas dalam kejadian ribut pada Isnin lalu.

"Ia membabitkan 139 rumah di kawasan Sungai Manik dan 55 lagi di Changkat Jong yang terjejas dalam bencana itu.

"Tabung ini adalah inisiatif awal yang disumbangkan untuk meringankan beban mangsa yang terbabit selain dapat digunakan untuk menampung sebahagian kos pembaikan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:23 PM