NURUL Maslinda bersama beruk peliharaannya sebelum memanjat pokok kelapa di Kampung Simpang Gelami, Jelebu.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: “Saya bernasib baik kerana sempat belajar loghat Kelantan dengan arwah suami, jika tidak mungkin saya mengalami kesukaran menguruskan tiga beruk yang digunakan untuk memanjat pokok kelapa,” kata ibu tunggal, Nurul Maslinda Niza Jamaludin, 39, dari Kampung Simpang Gelami di sini, yang menyara keluarga mengambil upah memetik kelapa sejak dua tahun lalu.

Menurut Nurul Maslinda, sejak kematian suaminya, Nasir Malek pada 2016 akibat kemalangan jalan raya di Kuala Klawang, dia terpaksa meneruskan kerja arwah bagi menyara tiga anaknya berusia empat hingga 14 tahun.

Katanya, arwah suaminya dikenali penduduk setempat dengan gelaran ‘Awe Beruk’ itu tidak meninggalkan apa-apa harta kecuali tiga ekor beruk yang sudah mahir memanjat dan memetik kelapa.

“Selepas suami meninggal dunia, beruk berkenaan seperti merajuk dan tidak mahu memanjat pokok kelapa dalam tempoh beberapa bulan.

“Ketika arwah ada, saya mengikutnya ke mana saja tempat perkhidmatan beruk diperlukan bagi memanjat kelapa sehingga mendapat sedikit sebanyak pengetahuan cara mengendalikan haiwan itu.

“Saya perlu bekerja bagi mencari rezeki biarpun ada kalanya timbul perasaan takut dengan beruk yang tidak boleh dijangka sifatnya itu dan meneruskan pekerjaan suami yang dimulakan 10 tahun lalu,” katanya.

Nurul Maslinda berkata, pada awalnya timbul masalah apabila beruk peliharaan itu seperti tidak mahu mendengar arahan dan kelihatan seperti keliru apabila disuruh melakukan seperti apa yang dilakukan arwah suaminya.

“Saya menyedari beruk yang dilatih arwah suami seperti tidak memahami arahan dan terlintas di fikiran untuk menggunakan loghat Kelantan kerana suami yang berasal dari negeri itu sering menggunakan loghat itu ketika memberi arahan kepada haiwan itu.

“Mujur ketika hayat suami masih ada saya sempat belajar dialek Kelantan, jika tidak mungkin saya mengalami kesukaran menguruskan beruk yang digunakan untuk memanjat pokok kelapa.

“Saya pernah mencuba menggunakan loghat Negeri Sembilan, tetapi tindak balas beruk sangat lambat dan ada kalanya beruk seperti keliru,” katanya yang kini mempunyai empat ekor beruk termasuk seekor bernama Boboi yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, Boboi yang berusia lima tahun ketika ini digunakan untuk memanjat pokok kelapa disebabkan lebih jinak dan mesra dengannya.

“Semua beruk berkenaan sudah mahir memanjat dan memetik buah kelapa. Selain mengendalikan mereka sendiri apabila ada permintaan daripada penduduk setempat, beruk berkenaan juga sering dipinjam kenalan arwah suami untuk pekerjaan sama.

“Beruk berkenaan biasanya diberi makan nasi bersama air susu atau soya bagi membekalkan tenaga selain makanan tambahan seperti pisang,” katanya.

Nurul Maslinda berkata, dia bukan mahu menunjuk kepada orang ramai apabila mengendalikan beruk berkenaan, tetapi pekerjaan itu adalah mata pencarian utamanya.

Katanya, biarpun kebiasaan kerja ini dilakukan orang lelaki, dia perlu berani dan bersedia sekiranya beruk berkenaan bertindak agresif.

“Arwah suami pernah beritahu, jika mahu beruk takut dengan tuannya, maka tuannya perlu lebih garang daripada beruk peliharaannya,” katanya.

Nurul Maslinda Niza berkata, tiga anaknya turut sering membantunya jika ada masa lapang seperti cuti hujung minggu atau cuti sekolah.

“Kebanyakan penduduk yang mendapatkan khidmat memetik buah kelapa membayar upah berdasarkan jumlah kelapa diturunkan dengan pembahagian 60:40,” katanya.

Menurutnya, kelapa berkenaan dibawa pulang ke rumah sebelum diproses menjadi santan dan dijual di kedai berhampiran pekan Kuala Klawang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 10:09 AM