ANGGOTA bomba memujuk Ayie sebelum memotong besi panah ikan yang tertusuk di tapak tangan kirinya di Hospital Raub, hari ini. FOTO Shahrinnahar Latib.
Shahrinnahar Latib


KHIDMAT bomba digunakan untuk membantu seorang kanak-kanak lelaki selepas tapak tangan kirinya tertusuk besi panah ikan ketika menangkap ikan di sungai di Kampung Ulu Sungai, Raub, hari ini.

Kejadian 2.30 petang itu menyebabkan mangsa, Ayie Jery, 10, mengalami kecederaan di tapak tangan kirinya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan 3.02 petang.

Beliau berkata, empat anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub kemudian bergegas ke Hospital Raub bagi melakukan khidmat khas memotong besi yang tertusuk pada tapak tangan mangsa.

"Sebaik tiba di hospital, kami mendapati besi sepanjang 0.5 meter untuk menangkap ikan masih tertusuk pada tapak tangan kanak-kanak berkenaan.

"Bomba kemudian diminta memotong lebihan besi di tapak tangan mangsa bagi memudahkan pihak hospital merawatnya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihak bomba kemudian memotong besi berkenaan menggunakan pemotong besi dan tugas selesai 3.34 petang.

"Sejurus pihak bomba berjaya mengeluarkan batang besi panah ikan itu, pasukan perubatan kemudian memberikan rawatan lanjut kepada mangsa dan keadaan mangsa dilaporkan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:49 PM