SERAMAI  46 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di kawasan tapak melombong bijih logam dan pasar malam dalam Ops Mega di Gua Musang.
SERAMAI 46 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di kawasan tapak melombong bijih logam dan pasar malam dalam Ops Mega di Gua Musang.
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seramai 46 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di kawasan tapak lombong bijih logam dan pasar malam dalam Op Mega di Gua Musang bermula Jumaat lalu hingga semalam.

Warga asing yang ditahan berusia antara 17 hingga 50 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Kemboja.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, seramai 25 PATI ditahan di tapak pasar malam FELDA Chiku 3, manakala 21 orang lagi ditahan di tapak melombong bijih logam di FELDA Aring 5.

“Semua pendatang terbabit melakukan kesalahan kerana tidak mempunyai permit atau pas yang sah mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, semua pendatang terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Katanya, dalam tempoh operasi, keseluruhan 202 warga asing diperiksa.

“Kita tidak berkompromi dengan majikan dan operasi akan dilakukan daripada semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat PATI bekerja tanpa permit dan tinggal lebih masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:26 AM