MOHD Sazarim Mat Nawi, 31 dan Malisa Ismail yang menaiki kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas maut selepas bertembung dengan kereta Proton Waja di Jalan Salor Baru, di sini awal pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


SUAMI isteri maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan kereta lain di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, pagi ini.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu Mohd Sazarim Mat Nawi, 31 dan Nur Aniisa Ismail, 27, yang menaiki Perodua Kancil maut di tempat kejadian.

Pemandu Proton Waja yang cedera dikejarkan ke Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kereta Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas.

Katanya apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu hilang kawalan dan terbabas melanggar kereta Proton Waja.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang Perodua Kancil maut di tempat kejadian.

"Manakala pemandu Proton Waja yang cedera dikejarkan ke hospital," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Katanya, polis menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi segala isyarat lalu lintas dan berhati-hati memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:27 AM