Pelabuhan Klang: Penternak di Pulau Ketam, semalam, mendakwa ditindas kerajaan negeri selepas sangkar ikan yang menjadi sumber pendapatan hampir 30 tahun lalu diarah dirobohkan.

Penternak mendakwa sangkar ikan masing-masing akan dirobohkan dalam tempoh tiga bulan selepas Pejabat Tanah dan Daerah mengeluarkan notis perobohan pada 24 Februari lalu.

Tindakan itu dipercayai susulan keengganan 36 penternak terbabit membayar Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebanyak 40 sen bagi setiap satu meter persegi sangkar ikan.

Penternak mendakwa caj yang dikenakan kerajaan negeri itu terlalu tinggi dan sangat membebankan berbanding di negeri lain seperti di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia (MFFAM), Mohamed Razali Mohamed yang mewakili penternak terbabit berkata, pada 2015, Pejabat Daerah dan Tanah Klang mengarahkan pengusaha sangkar membayar caj tahunan TOL sangkar ikan pada kadar RM2 bagi satu meter persegi.

Bagaimanapun, katanya, penternak membantah berikutan caj yang dikenakan terlalu tinggi dan selepas rayuan dibuat, kadar itu diturunkan sehingga menjadi RM1.

WAKIL Persatuan Penternak Ikan Selangor mengadakan bantahan di Pulau Ketam.

“Apabila penternak enggan membayar TOL berkenaan berikutan caj yang dikenakan masih terlalu tinggi berbanding negeri lain, mereka (kerajaan Selangor) mengarahkan Jabatan Perikanan supaya tidak mengeluarkan Lesen Sistem Kultur Laut (SKL).

“Jika penternak tidak memiliki lesen, mereka tidak boleh bawa bot dan tidak boleh menggajikan pekerja asing. Macam mana mahu cari makan?

“Jadi, kita terpaksa minta Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) campur tangan. Atas ihsan beliau, lesen SKL dikeluarkan kepada penternak bagi tempoh 2016 dan 2017,” katanya pada sidang media, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Marin Malaysia (MFFAM) Datuk Goh Cheng Liang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:52 AM