PENDUDUK beratur untuk mengambil bekalan air bersih dari lori tangki SYABAS di Pangsapuri Sri Penara.
Syanty Octavia Amry

Cheras: “Saya terpaksa tutup kedai selama dua hari kerana perniagaan saya memerlukan banyak air,” ujar peniaga masakan panas, Wan Zurina Wan Sulaiman yang beroperasi di Bandar Seri Permaisuri di sini.

Dia dan ramai peniaga lain bagaimanapun sedikit lega apabila mula menerima kemudahan itu sejak malam kelmarin.

Walaupun tekanan air tidak kuat seperti biasa, sekurang-kurangnya mereka kini dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Saya baru buka kedai hari ini (semalam). Mujur pagi ini sudah ada air tetapi tekanan agak perlahan, tidak seperti selalu.

“Namun saya berasa sedikit lega kerana dapat memulakan perniagaan seperti biasa hari ini. Gerai saya beroperasi pada pagi dan petang saja, jadi waktu tengah hari dapatlah saya membersihkan apa yang patut,” katanya.

Wan Zurina berkata, gangguan bekalan air yang dialami sehingga terpaksa menutup perniagaan ini adalah yang kedua selepas kejadian pertama dua tahun lalu.

Sementara itu, peniaga roti canai, Rozlan Mohd, yang bergantung rezeki secara berniaga di situ mengakui terputus sumber pendapatan selama dua hari gangguan bekalan air dialami.

“Bila berniaga, dapatlah pendapatan RM80 sehari, tetapi apabila tidak dapat berniaga kerana tiada bekalan air, terputuslah pendapatan.

“Hari ini saya lega kerana air sudah mula ada sejak malam tadi, dapatlah berniaga seperti biasa,” katanya.

Rozlan berkata, sepanjang tempoh gangguan, mereka yang mahu berniaga terpaksa mengangkut bekalan air dari tempat lain menggunakan tong besar ke gerai masing-masing.


PELANGGAN Medan Selera Penara, Bandar Sri Permaisuri mencuci tangan menggunakan air tadahan.

Sementara itu, tinjauan di beberapa sekolah mendapati semua sudah mula menerima bekalan air walaupun tekanannya masih rendah.

Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri, Sharizal Sulaiman berkata, air sudah mula ada di kawasan sekitar termasuklah sekolah itu sejak pagi kelmarin.

“Hari ini cuti tiada aktiviti di sekolah tetapi air sudah mula ada. Sepanjang tempoh gangguan, pelajar terpaksa membawa air daripada rumah.

“Malah, tandas tidak boleh digunakan berikutan air tidak ada. Mujurlah lori air bomba ada datang ke sini menyalurkan air kepada sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 11:03 AM