NAJIB menjawab soalan yang diajukan pada sidang minggu kedua, semalam.
Mohd Anwar Patho RohmanIdris MusaRizanizam Abdul HamidLuqman Arif Abdul Karim dan Farhana Syed Nokman dan Nor Ain Mohamed Radhi
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Saiz hutang bukan ukuran utama keutuhan ekonomi Malaysia, sebaliknya ia bersandarkan kemampuan negara dalam menjelaskan pembayaran balik, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, soal pengurusan hutang negara dikendalikan dengan baik kerana peratusannya daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikekalkan kepada 50.8 peratus berbanding kadar maksimum iaitu 55 peratus.

Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan hutang negara yang semakin menguncup bukan sandaran utama dalam menentukan kekuatan ekonomi Malaysia.

“Tetapi kekuatannya terletak pada kemampuan kita membayar balik hutang. Kalau sebut Singapura, hutang mereka lebih besar, tetapi kemampuannya membayar balik tetap ada.

“Jadi, kita ada kemampuan bayar balik yang tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antarabangsa meletakkan Malaysia dalam kategori A.

“Ia bermakna kewangan negara termasuk hutang diuruskan secara baik dengan harapan bahawa masalah air di Selangor juga akan diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) di Dewan Rakyat yang mengundang kekecohan sebaik sidang minggu kedua, penggal keenam membuka tirainya.

Suasana dewan yang bertukar hingar itu tercetus apabila Mohamed Azmin mengajukan soalan sama ada peningkatan jumlah pembayaran faedah hutang negara kepada 12.5 peratus mempunyai kaitan dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Topik sensasi itu menyaksikan beberapa Ahli Parlimen bangkit menyuarakan bantahan berhubung rasional soalan terbabit, selain kedengaran kritikan balas: “Isu air Selangor lagi kritikal. Kenapa tak selesaikan?”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:58 AM