PENDUDUK membersihkan cebisan bangkai paus yang terdampar di Pantai Kuala Matu, Mukah, hari ini. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


“MULANYA disangka longgokan jala terpakai, namun saiznya yang luar biasa mendorong saya mendekatinya," kata nelayan, Zaini Hosen, 44, yang menemui bangkai ikan paus di Pantai Kuala Matu, Mukah, 7 pagi hari ini.

Zaini berkata, rutin hariannya ke pantai itu untuk menangkap ikan sebelum tiba-tiba melihat objek besar berwarna putih terdampar di kawasan hulu pantai yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Kuala Matu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja menghampiri objek itu, dia terkejut mendapati ia adalah seekor ikan besar yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

"Rasa gentar melihat ikan sebesar itu menyebabkan saya bergegas pulang ke rumah memaklumkan penemuan itu kepada abang saya, selain meminta beberapa penduduk kampung untuk menemani kami memeriksa ikan itu.

“Selepas menelitinya, baru kami sedar ia ikan paus, namun tidak tahu apa jenisnya. Saya percaya ikan ini mati di laut sebelum bangkainya dihanyutkan ombak dan terdampar di pantai ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Penghulu Kampung Kuala Matu, Lai Elan, berkata bangkai ikan paus itu dianggarkan berukuran kira-kira enam meter.

Beliau berkata, ia kejadian kedua bangkai binatang berkenaan terdampar di pantai itu selepas kejadian pertama pada awal 1990-an.

“Dalam kejadian pertama dulu, ia masih dalam bentuk sempurna tetapi kali ini pula hanya cebisan isi dan tulangnya saja ditemui.

“Gambar dan rakaman video berkaitan penemuan bangkai ikan paus terbabit viral dan dirakam sebelum disebarkan oleh penduduk di laman sosial,” katanya.

#kw nelayan, bangkai paus

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 11:56 AM