MOHD Ali (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian cecair dadah yang dirampas dalam dua serbuan Sabtu lalu pada sidang media di IPD Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


POLIS merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM986,979 dalam dua serbuan berasingan termasuk sebuah makmal mini memproses dadah di sekitar bandar raya Ipoh, Ahad lalu.

Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu turut berjaya memberkas tiga lelaki dan merampas dadah jenis cecair syabu, pil ekstasi, ketamin dan amphetamine yang keseluruhannya dianggar seberat 12.49 kilogram (kg).

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, serbuan pertama dijalankan 3 petang di sebuah rumah di Taman Sri Kurau, Bercham, Ipoh, yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis dadah diletakkan dalam kereta PROTON Saga dipercayai milik lelaki terbabit.

“Polis menemui pil ekstasi (324 gram), amphetamine (2.75 kg) dan ketamin seberat 120 gram,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan taktik membungkus semula semua dadah berkenaan dalam paket minuman teh jenama terkenal bagi mengelirukan pihak berkuasa dan dipercayai diedarkan di pusat hiburan.

“Nilai dadah dirampas itu dianggarkan RM335,979 dan polis turut menyita kereta berkenaan yang bernilai RM4,500,” katanya.

Mohd Ali berkata, serbuan kedua pula dijalankan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Jalan Perindu, Silibin, Ipoh pada 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata, hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah khemah kanvas di kawasan berkenaan yang dijadikan makmal mini untuk memproses dadah dipercayai jenis syabu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 9.3kg cecair dipercayai dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM651,000 selain merampas pelbagai alatan memproses dadah.

“Dua lelaki berusia 32 dan 50 tahun turut berjaya diberkas ketika sedang memproses dadah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu menerima tempahan daripada orang lain sebelum memproses dadah di makmal berkenaan dan sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 32 tahun mempunyai empat rekod lampau membabitkan dua kes jenayah dan dua kes dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang diberkas dalam dua serbuan itu kini direman selama enam hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 5:12 PM