ANGGOTA AADK menahan lelaki yang bertindak tidur di kawasan sawah padi di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal, Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


LELAKI sengaja melengahkan tugas pihak berkuasa apabila tidur di dalam sawah padi kering hampir 45 minit dalam serbuan di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal, Sungai Petani, hari ini.

Malah, lelaki, 38, dipercayai ‘runner’ turut bertindak ‘pengsan’ di kawasan itu dan melondehkan seluarnya sehingga menimbulkan kekecohan dalam operasi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan dengan kerjasama penduduk kampung sebelum dibawa keluar dari kawasan berkenaan dalam operasi dari 7 pagi hingga 2 petang.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda Shamshuri Yusoff berkata, lelaki berkenaan antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan di kebun kelapa sawit yang dipercayai menjadi tempat untuk melepaskan gian dadah jenis methamphetamine dan opiat.

“Dalam serbuan di lokasi pertama, seramai tiga individu ditahan semasa mereka masuk ke dalam 'port'.

“Bagaimanapun, selepas pemantauan dijalankan di kawasan sekitar, mereka (penagih) yang lain berpindah ke kawasan baru iaitu berhampiran dengan kawasan bendang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamshuri berkata, dalam serbuan di 'port' kedua, pihaknya berjaya menahan 11 individu dengan ada antaranya melarikan diri masuk ke dalam hutan dan kawasan sawah padi berhampiran.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia 23 hingga 49 tahun yang bekerja sebagai peniaga, mekanik, buruh am dan penganggur.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua individu yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:12 PM