Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my

MAYAT lelaki yang ditemui dengan kesan kelar di leher, di Sungai Chandong, Pulau Indah, semalam, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan.

"Ini berdasarkan kepada kesan cacah yang ada di badan mangsa iaitu gambar naga, bunga dan wanita, yang polis percaya ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

"Kes ini juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh pada bulan lalu kerana mayat mangsa juga mempunyai cacah yang sama selain cara bunuh yang juga sama," katanya pada sidang media, di Klang, hari ini.

Semalam, mayat terbabit ditemui pada jam 10.18 pagi sebelum sepasukan anggota polis marin diarahkan membawa keluar mangsa dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya.

Bulan lalu, polis menemui satu mayat lelaki dengan kesan tetakan yang dicampak ke laut.

Mayat terbabit turut mempunyai cacah yang sama dengan mayat yang dijumpai semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:34 PM