Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my

Butterworth: Pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, semalam atas dakwaan membuat penyataan palsu berkenaan butiran membatalkan syarikat miliknya pada 15 Disember 2016.

Tertuduh Lee Choong Sen, 29, yang juga pengarah JJ Global Networks Sdn Bhd (JJ Global Network) meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada tarikh berkenaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Seberang Jaya membuat satu penyataan palsu berkenaan di butiran akuan yang dikehendaki untuk pemotongan nama syarikat mengikut Akta Syarikat 1955.

Tertuduh didakwa membuat penyataan palsu berkenaan status syarikat miliknya yang dikatakan tidak pernah memulakan perniagaan sejak diperbadankan walaupun tahu ia palsu.


Lee (kiri) merakam gambar media yang membuat liputan di Mahkamah Butterworth.

Pegawai Pendakwa SSM, Faiz Mahdi Mahmud memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh.

Peguam tertuduh, Nick Tan Meow Khoon bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 susulan kerjasama diberikan anak guamnya.

Hakim Noor Aini Yusof menetapkan ikat jamin RM6,000 dan 12 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

JJ Global Network sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pelaburan haram yang berbentuk foreign exchange (Forex) dikenali dengan skim JJ Poor to Rich (JJPTR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:28 AM