Muhamad Sahrizal dijatuhi hukuman penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang kontraktor pemasangan jalur lebar dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang berjumlah RM20,000 ke sebuah akaun, tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Sahrizal Ismail, 35, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan harta diperoleh secara tidak jujur wang tunai RM20,000 melalui akaun CIMB Bank milik tertuduh daripada Muhammad Yusri Mahat, 46, kira-kira jam 11.40 pagi, pada 27 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang berada dalam tahanan penjara Kluang, Johor atas kesalahan menipu, merayu hukuman ke atasnya dikurangkan dengan bermula dari tarikh ditangkap pada 17 Ogos 2017. Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran dikenakan ke atas tertuduh.

“Saya pohon hukuman dijatuhkan dengan mengambil kira faktor kes salah guna akaun bank semakin berleluasa dan hukuman berbentuk pengajaran perlu bagi menyedarkan tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara 14 bulan bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:32 AM