HM Digital

Kuala Lumpur: Penderitaan bayi lelaki 10 bulan, Faris Wafiuddin Faris Irwan yang menghidap penyakit kegagalan hati (biliary atresia) diringankan melalui sumbangan RM200,000 daripada Tabung Darul Iman.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya terpanggil bagi menampung kos pembedahan hati bayi malang berkenaan berjumlah RM250,000 di Hospital Renjin, Shanghai, China.

“Setiap tahun kita membelanjakan kira-kira hampir RM1 juta untuk membantu rakyat Terengganu tidak berkemampuan yang mengalami masalah kesihatan.

“Selepas dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, kita bersetuju untuk membantu Faris Wafiuddin yang memerlukan pembedahan segera bagi merawat penyakitnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, semalam.


AHMAD Razif bersama isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria (tengah) melihat keadaan Muhammad Faris.

Ahmad Razif turut menyerahkan cek bernilai RM200,000 kepada Siti Rokiah Abd Wahab, 39, yang bakal menemani anak bongsunya itu ke Shanghai nanti.

Menurut Ahmad Razif lagi, bantuan itu tidak terhenti di situ saja dan pihaknya akan memantau perbelanjaan Faris Wafiuddin di Shanghai nanti.

“Kami tidak mahu ada perkara yang boleh membebankan keluarga pesakit ketika berada di Shanghai nanti termasuk perbelanjaan harian keluarga yang menemani,” katanya.

Sementara itu, Siti Rokiah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyumbang bagi memenuhkan kos pembedahan anak bongsunya itu ke Shanghai tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:46 AM