MASTURA melihat keadaan kulit Mohd Hanif.
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Nilai: “Jika penyakitnya boleh bertukar kepada saya alangkah baiknya disebabkan saya tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung,” luah Mastura Osman, 54, mengenai anaknya, Mohd Hanif Fadhli Mohd Sofian, 30, yang menderita akibat penyakit psoriasis atau lebih dikenali sebagai penyakit kulit kronik.

Menurutnya, dia tidak menyangka kehidupan anak sulung daripada empat beradik itu berubah selepas disahkan menghidap penyakit itu.

“Penyakit ini bermula dengan wujud ruam di anggota badannya namun selepas dia berkahwin pada 2016 ruam semakin teruk dan merebak ke seluruh badan dan lama-kelamaan kulit menjadi tebal dan bersisik membuatkan dia sukar bergerak selain menahan kesakitan sepanjang masa.

“Dia yang dahulunya aktif kini terlantar. Lebih menyedihkan, dia tidak dapat menyara keluarganya membuatkan mereka berpisah dan bekas isterinya kini menjaga anak lelaki mereka yang berusia lapan bulan,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Enstek di sini.

Mastura berkata, doktor memaklumkan penyakit itu tidak boleh sembuh cuma mereka hanya mampu memberi ubat sapu berasaskan steroid selain menggalakkan dia banyak minum air kosong.

“Dia sungguh menderita menanggung penyakit itu sehingga satu tahap saya mahukan penyakit dialihkan kepada saya,” katanya.

Katanya, mereka kini menumpang teduh di rumah anak keduanya, Bukhairi Mohd Sofian, 28, disebabkan tidak mampu menyewa di tempat lain.

“Walaupun Bukhairi baru berkahwin namun dia dan isterinya amat memahami kesukaran dihadapi bahkan mereka bukan saja memberi tempat berteduh, malah membantu dua lagi anak saya berusia 14 dan 20 tahun yang masih belajar,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank 1627-4010-5797 atas nama Mohd Hanif Fadhli Mohd Sofian atau hubunginya di talian 017-6598795.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:51 AM